Selasa, 20 Mei 2014

Dalil Solat Qasar


Berkata Anas bin Malik ra. :

خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين، ركعتين حتى رجعنا إلى المدينة

"Kami keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah" [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim].

Jadi, solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zohor, Asar dan Isyak.

Dalil Jamak Taqdim

Riwayat dari Anas bahawa :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رحل قبل أن تزيغ- تميل ظهرا- الشمس، أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل يجمع بينهما، فإن زاغت قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب.

"Sesungguhnya apabila Nabi SAW bermusafir sebelum gelincir matahari, baginda akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu Asar, kemudian baginda singgah disuatu tempat dan bersolat jamak kedua-dua solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat." [Hadis Bukhari dan Muslim].

Dalil Solat Jamak Ta'khir


Dari Muaz bin Jabal ra. :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب

"Bahawa Nabi SAW  ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isyak, maka dilakukan solat Isyak dengan Maghrib" [Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmudzi].


Sahabat yang dimuliakan,
Setelah kita dapati ilmu yg haq mengenai perbuatan mengqasar dan menjamakkan solat berpandukan al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW dan ijtihad ulama, soalannya, berapa harikah kita boleh qasar dan jamakkan solat? Terdapat beberapa hadis Nabi SAW sebagai panduan  mengenai perkara ini.

Kita telah dimaklumkan ketetapan as-Sunnah bahawa Rasulallah SAW apabila bermusafir mengqasarkan solat-solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat dan baginda juga menjamakkan solat-solat Zohor dengan Solat Asar, dan solat Maghrib dengan Solat Isyak.

berapa harikah boleh dijamak dan diqasarkan solat?


(a) Mengqasar dan Menjamakan Selama 9 hari

Mengikut hadis di bawah ini pula, Jabir mengatakan bahawa Nabi SAW musafir dan menetap di Mekah untuk sesuatu tujuan pada 4 Zulhijjah, kemudian kembali ke Medinah selepas habis musim haji (yakni, 13 Zulhijjah). Sepanjang tempoh tersebut baginda menqasarkan solat fardunya – iaitu selama sembilan (9) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdullah (r.a) di dalam sekumpulan manusia (yakni, orang-orang), berkata: ‘Telah datang Nabi SAW ke Mekah pada tanggal 4 telah lewat dari bulan Zulkhijjah.’ [Hadith Ibnu Majjah]


(b) Menjamak dan Mengqasar Selama 10 Hari

Hadis berikut pula daripada Anas (r.a) yang menyatakan bahawa beliau bersama-sama dengan Rasulallah SAW bermusafir dari Madinah ke Mekah dan menetap di Mekah selama sepuluh (10) hari. Semasa menetap di Mekah mengqasarkan solat fardunya dua rakaat dua rakaat. Yakni, boleh diqasarkan solat kerana musafir itu selama 10 hari.

Diceritakan hadis daripada Yazib bin Zurai’in dan Abdul A’la, berkata kedua-duanya: ‘Menceritakan kepada mereka hadis itu daripada Abi Ishak, daripada Anas (r.a), berkata: ‘Keluar aku beserta Rasulallah SAW dari Madinah (pergi) ke Mekah. Maka bersolat kami (mengqasarkan solat) dua rakaat dua rakaat sehingga kembali kami (ke Madinah). Berkata Yahya: ‘Berapa lama dia menetap di Mekah?’ Berkata Anas (r.a): ‘Sepuluh (10) hari’. 
[Hadis Ibnu Majjah]


(c) Jamak dan Qasar 13 hari

Sebagai permulaannya, mengikut hadis berikut dilapurkan bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat fardunya selama tempoh tiga belas (13) hari, yakni, sepanjang bulan Zulhijjah sampai hari tasyrik, iaitu tiga belas (13) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Abdul Rahman bin Humaidin az-Zuhri berkata: ‘Bertanya aku kepada Saib bin Yazid: ‘Apakah mendengar engkau dalam diam (yakni, semasa menetap) di Mekah?’ Berkata Sabit: ‘Telah mendengar aku al-‘Ala bin Hadhrami berkata: ‘Bersabda Nabi SAW : ‘Tiga hari kerana bertempat selepas selesai mengerjakan haji.’

[Hadis Ibnu Majah]

Hadis ini menjelaskan bahawa ibadah haji itu bermula waktu Wukuf di Arafah, iaitu tanggal 10 Zulhijjah, kemudian disambung pula mengqasarkan solat tiga hari lagi, menjadikannya tiga belas (13) hari. Hadis di atas menjelaskan bahawa solat jamak dan qasar itu dilakukan oleh Rasulallah SAW selama 10 hari pada musim haji baginda.



(d) Menjamak dan Mengqasarkan Solat 15 Hari

Di dalam hadis berikut kita diberitahu oleh Abdullah bin Abbas (r.a) bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat fardunya selama lima belas (15) hari:

Diriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Rasulallah SAW tinggal selama lima belas (15) hari di Mekah selepas peperangan dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (yakni, empat rakaat dijadikan dua rakaat).’ [Hadis Abu Daud]

Di dalam hadith di bawah ini pula katanya dia dan Rasulallah SAW menetap kerana musafir di Mekah selepas menang satu peperangan selama lima belas (15) hari mengqasarkan solat fardu sepanjang tempoh mereka menetap di Mekah itu.

Diriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah SAW bertempat di Mekah selepas menang perang (selama) lima belas (15) malam, mengqasar dia akan solatnya.’ [Hadis Ibnu Majjah]



(e) Qasar dan Jama’ Selama 17 Hari

Di dalam hadis di bawah ini pula, ibnu Abbas (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah SAW mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardunya selama tujuh belas (17) hari. Selain itu, Ibnu Abbas (r.a) juga memberitahu satu prinsip yang lain, iaitu jika orang tempatan (yakni, qariah tersebut), tidak boleh mengqasarkan solatnya.

Diriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawa Rasulallah SAW berhenti (yakni, bermukim sementara) di Mekah selama tujuh belas (17) hari dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (menjadi dua rakaat). Berkata Ibnu Abbas (r.a) : ‘Sesiapa yang berhenti sementara hendaklah memendekkan solatnya, dan sesiapa yang tinggal melebihi jangka waktu itu hendaklah bersolat sempurna (yakni, dibuat empat rakaat).’ [Hadith Abu Daud]

Hadis di atas itu memberikan nas dan dalil syariat bahawa mereka yang didalam musafir boleh mengqasar dan menjamakkan solatnya selama tujuh belas (17) hari manakala orang yang bermukin di tempat tersebut tidak boleh menjama’ dan mengqasarkan solat mereka.


(f) Menjama’ dan Mengqasarkan 18 Hari

Di dalam hadis dibawah ini diceritakan oleh seorang sahabat, Imran, bahawa Rasulallah SAW pernah mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardunya selama lapan belas (18) hari. Tetapi, orang qariah tersebut (yakni, tempat dia berhenti rehat sebentar itu) tidak boleh memendekkan solat-solat fardunya.

Diriwayatkan hadis daripada Imran bin Husain (r.a) berkata: ‘Aku di dalam musafir dengan Rasulallah SAW selepas satu penaklukan. Baginda tinggal di Mekah selama delapan belas (18) hari dan bersolat dia dua-dua rakaat setiap solat (yakni, mengqasarkan solat fardunya). Maka bersabda baginda (yakni, Rasulallah SAW : ‘Kamu yang tinggal (yakni, bermestautin) di sini hendaklah bersolat empat rakaat, kami pengembara (yakni, dalam musafir).’

[Hadis Abu Daud]

Hadis di atas menyebutkan prinsip yang sama sebagaimana disebutkan di dalam hadis sebelumnya, yakni hadis riwayat Ibnu Abbas (r.a) itu. Kemudahan hanya kepada mereka yang bermusafir.


(g) Menjamak dan Mengqasar 19 Hari

Di dalam hadis Ibnu Abbas (r.a) di bawah ini, dia bersama-sama dengan Rasulallah SAW menetap selepas musafir di Mekah selama sembilan belas (19) hari. Sepanjang tempoh tersebut mereka bersolat fardu dengan mengqasarkannya dua rakaat dua rakaat.

Diriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bermukim Rasulallah SAW sembilan belas (19) hari bersolat dia dua-dua rakaat. Adapun kami ketika bermukim (yakni, bertempat) sembilan belas (19) hari, bersolat kami dua-dua rakaat. Maka ketika bertempat (yakni, bermukim) kami melebihi dari demikian itu, bersolat kami empat rakaat (yakni, mengerjakan solat-solat fardu seperti biasa, tidak dijamak atau diqasarkan).’

[Hadith Ibnu Majah]

Di dalam hadis Ibnu Abas (r.a) di atas itu baginda dan Rasulallah SAW menjamakkan solat selama 19 hari. Selepas 19 hari mereka membuat solat fardu seperti biasa iaitu empat rakaat setiap solat yang empat rakaat.


(h) Menjama’ dan Mengqasarkan 20 Hari

Di dalam hadis di bawah ini pula diriwayatkan oleh seorang sahabat akrab Rasulallah SAW, iaitu Jabir bin Abdullah (r.a), bahawa Rasulallah SAW mengqasarkan solat-solatnya selama dua puluh (20) hari.

Diriwayatkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: ‘Rasulallah SAW tinggal selama dua puluh (20) hari di Tabuk dan baginda memendekkan solatnya (yakni, empat menjadi dua rakaat sahaja).’ [Hadis Abu Daud]



Walaupun kita diberi keringanan untuk mengqasar dan menjamakkan solat-solat fardu ketika dalam musafir sebanyak yang disebutkan dalam hadis-hadis tersebut - maksimanya adalah 20 hari - namun jika kita bermusafir kemudian bermestautin sementara di suatu tempat yang agak kekal kita di situ, maka sebaik-baiknya kita hendaklah menqasr dan menjamakkan solat-solat kita hanyalah untuk 3 hari sahaja. Kecualilah, ketika bertempat di suatu tempat itu, kita perlu menguruskan kerja yg tidak maksiat, terpaksa berpindah-pindah dari suatu daerah atau pekan ke suatu daerah atau pekan setiap hari, maka menyulitkan kita bersolat, wallahu 'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan