Selasa, 20 Mei 2014

Solat Jamak dan Qasar Berdasarkan Hadis-hadis Nabi SAW. Ketika Musafir


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Solat adalah amalan yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Bila solatnya diterima maka barulah amalan-amalan yang lain di terima seperti puasa, zakat. haji, sedekah, bacaan al-Quran, berzikir, berbuat kebaikan kepada kedua orang tua dan berjihad di jalan Allah SWT akan diterima dan dihisab. Jika solatnya ditolak maka amalan kebaikan yang lain tidak akan di hisab dan ianya akan terus dimasukkan ke dalam neraka, nauzubillah.

Sebelum Allah SWT menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti maka Allah SWT akan terima solat itu di dunia ini lagi. Jika Allah SWT menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah SWT nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat beberapa faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah SWT.

Oleh kerana solat menjadi perkara penting, Allah SWT memberi rukhsah kepada hamba-hamba-Nya yang sedang dalam musafir iaitu dibenarkan mengqasar dan menjamakkan solat untuk kemudahan manusia supaya solat menjadi suatu yang tidak membebankan.

Wujud pelbagai perbezaan pendapat mengenai permasalahan solat qasar dan jamak dan bilangan hari semasa bermusafir. Perbezaan ini bersumber daripada kepelbagaian riwayat hadis dan athar (riwayat) yang datang daripada para perawi di kalangan sahabat Rasulullah SAW.

Justeru, apa jua perbezaan pendapat yang berlaku diharapkan tidak mengakibatkan tali persaudaraan sesama saudara muslim menjadi retak.

Perlu difahami bahawa permasalahan perbezaan pendapat di atas adalah permasalahan fiqh. Dan ia merupakan suatu yang perlu diterima dan kita dituntut untuk berlapang dada dan berbesar hati dalam meraikan perbezaan yang berlaku. Apa yang pasti sebagai umat Islam kita berusaha menjadikan dalil yang kuat sebagai landasan amal ibadah kita.

Keterangan mengenai qasar solat telah difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."

Asbabun Nuzul ayat 101 surah an-Nisa' : Ali k.wj menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan sekelompok orang dari Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAW : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ini sering berpergian untuk berniaga, bagaimana cara kami melakukan solat?" (Hadis Riwayat Ibnu Jarir. Lihat Ibnu Katsir 1/721) maka turun ayat ini.

Dalam ayat ini, mengqasar solat dikaitkan dengan "apabila takut dengan musuh."

Ketika turun ayat ini, para sahabat merasa hairan, adakah masih dibolehkan untuk mengqasar solat jika keadaan aman dan tenteram?

Justeru, ketika persoalan ini diajukan oleh sahabat kepada Rasulullah SAW, maka baginda SAW bersabda: "Ia adalah sedekah dari Allah SWT, maka terimalah sedekah-Nya".

Allah SWT telah memberi kelonggaran/keringanan kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir. Kelonggaran ini dinamakan rukhsah solat.


Sabda Rasullah SAW maksudnya : “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan fardhu solat dalam apa keadaan sekalipun, di samping membuktikan bahawa agama Islam yamg mengambilkira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Allah SWT telah mensyariatkan Solat Qasar dan Solat Jamak sebagai rukhsah bagi mereka yang bermusafir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan